HULU TERENGGANU – Seorang anggota polis bantuan maut selepas motosikal jenis Yamaha 15Z ditunggang dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Ranger Courier di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu- Bukit Besi berhampiran Kampung Landas di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Riduan Mohd. Teh, 40, dari Felda Jerangau, Ajil di sini meninggal dunia akibat parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, si mati dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya ke Ajil.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dikatakan tiba-tiba membelok ke kanan dan memasuki laluan bertentangan.
“Ranger Courier yang dipandu pesara lelaki berusia 62 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal mangsa,” katanya di sini hari ini.
Pemandu Ranger Courier tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(JPJ) 1987. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929