JAKARTA – Seorang pakar teknologi makanan mengesyorkan pengambilan tempe sebagai salah satu cara untuk meningkatkan sistem imunisasi badan sekali gus mengurangkan risiko jangkitan atau simptom serius Covid-19, lapor laman berita Detik.com hari ini.
Menurut Dr. Driando Ahnan-Winarno, berdasarkan kajian, makanan yang kaya dengan serat, antioksida dan lemak tidak tepu dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh.
Kesemua khasiat itu terdapat pada tempe.
“Bagaimanapun, saya ingin menekankan di sini bahawa tempe bukanlah ubat kepada virus Covid-19, sebaliknya ia dapat menjadi sebahagian daripada diet sihat untuk memperkuat sistem imunisasi tubuh.
“Ini seterusnya berpotensi untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 yang kronik dan meninggalkan kesan yang berkekalan,” katanya.
Selain itu, tambah Driando, cara memasak tempe yang betul perlu diikuti bagi mengekalkan khasiatnya kerana komponen antioksidanya amat sensitif.
“Bagi mengekalkan nutrisinya, tempe boleh dimakan secara mentah, namun ia perlulah dibasuh dengan bersih.
“Selain itu, tempe juga boleh dimakan secara kukus,” jelasnya. – AGENSI