PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah mengambil keputusan untuk ‘mengunci mulut’ dan enggan mengulas lanjut berhubung isu yang kini dikaitkan dengan ibu mertuanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid berhubung kedaifan sebuah keluarga.
Mengakui terkena tempias amarah orang ramai, Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman bagaimanapun bertegas, tidak mahu memanjangkan isu berkenaan memandangkan kejadian tersebut telah berlaku sejak beberapa hari lalu.
“Saya cukup tahu saya terkena tempiasnya. Tetapi saya juga percaya mereka (peminat) dapat menilai dengan lebih baik.
“Isu ini sudah beberapa hari berlalu. Saya tak nak ulas apa-apa dan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Ujar pelakon drama rantaian, Lelaki Kiriman Tuhan itu, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia sedang kecewa dan beremosi dengan situasi yang sedang melanda negara.
Justeru katanya, adalah lebih baik untuk dia tidak mengulas panjang mengenai isu berkenaan.
“Orang ramai tengah marah. Banyak sangat perkara sedang berlaku. Hari ini sahaja (semalam) kes baharu Covid-19 lebih 8,000 kes.
“Sebab itu saya tak nak jelaskan apa-apa dan tak nak ulas apa-apa lagi. Semua ini demi menjaga hati keluarga. Harap semua faham. Saya minta maaf banyak-banyak,” kata Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular 2019 itu.
Terdahulu, Kosmo! melalui ruangan pojok melaporkan tentang nama Mira Filzah yang tiba-tiba sohor kini dalam Twitter berpunca daripada luahan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap tindakan ibu mertuanya berkaitan isu bantuan kepada penduduk di daerah Kuala Kangsar, Perak.
Ibarat cubit paha kiri, paha kanan juga terasa, nama Mira terpalit disebabkan isu yang melibatkan ibu mertuanya sehinggakan ada dalam kalangan netizen bertindak menghambur kata-kata kesat selain mengugut untuk berhenti menyokong kerjaya seninya.
Sebelum ini, Mastura yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dikritik kerana menyiarkan video wawancara dengan seorang penduduk bagi menyanggah dakwaan terdapat rakyat kawasannya kelaparan selama dua hari. -K! ONLINE