MELAKA – Melaka akan membangunkan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Jasin dalam masa terdekat dalam usaha menyediakan ruang bagi pesakit Covid-19 yang kritikal di Hospital Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini kelengkapan bagi pengoperasian hospital itu telah pun lengkap dan penugasan kakitangan sedang dilakukan.
“Kita telah memohon untuk membuka Hospital Medan ATM di negeri ini susulan Hospital Melaka sangat kritikal dan kerajaan pusat menerusi sidang khas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara telah meluluskan pembinaan pusat rawatan tersebut semalam.
“Kita akan membukanya di Hospital Jasin dalam masa terdekat dan kini pihak kesihatan awam sedang menyusun semula penugasan kakitangan diperlukan bagi pengeoperasian di sana nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau hari pertama pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam di sini, hari ini.
Ujarnya, hospital medan itu nanti akan menempatkan kira-kira 50 pesakit biasa bagi mengurangkan kesesakan dan menyediakan ruang bagi pesakit Covid-19 di Hospital Melaka. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929