RAUB – Seorang lelaki ditahan bersama 22 biji durian musang king kerana menceroboh Hutan Simpan Batu Talam di sini yang sedang dilaksanakan operasi Ops Pamah bagi memusnahkan pokok durian tersebut.
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu lelaki berusia 42 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 ditahan kerana kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit atau kebenaran daripada JPNP.
“Ketika ditahan lelaki terbabit mendakwa dia ke kebun miliknya yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Batu Talam bagi mengambil durian yang mula gugur, dia secara tidak sengaja memasuki hutan simpan.
“Kita tidak pasti kenapa lelaki yang menetap di Kampung Tras itu berada dalam Hutan Simpan Batu Talam sedangkan kebunnya berada di luar kawasan hutan simpan terbabit, bersamanya juga terdapat 22 biji durian Musang King,” katanya.
Menurut Nor Azirim, lelaki terbabit berjaya melepasi dua sekatan jalan raya (SJR) pihak berkuasa dengan alasan untuk ke kebunnya dengan membawa bersama geran tanah.
Katanya, lelaki berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa permit yang jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu Katanya, Ops Pamah yang memasuki hari ke tujuh hari ini berjalan dengan lancar selepas mendapat bantuan dan kawalan daripada pihak polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Kehadiran lebih ramai anggota PGA yang turut dibantu anggota polis melancarkan lagi operasi yang dianggap begitu mencabar ini dan operasi bersepadu ini diharap dapat selesai lebih awal,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929