fbpx

Lapan hotel jadi pusat pemindahan 1,606 pekerja Top Glove dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arjunaidi

SHAH ALAM – Polis telah mengenal pasti lapan hotel yang digunakan sebagai transit kepada 1,606 pekerja kilang sarung tangan, Top Glove yang dipindahkan dari asrama mereka di Petaling Jaya sebelum ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan awal mendapati pemindahan mereka dilakukan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan secara bersasar dilaksanakan di asrama itu.

“Lapan hotel dikenal pasti dan kita telah menentukan mereka tidak dapat keluar ketika ini dan saringan telah dijalankan kepada 1,606 pekerja tersebut.

“Kita telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar secara maya hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi selama 3 minit 4 saat menerusi aplikasi Tiktok yang memaparkan seorang wanita warganegara tempatan memperkenalkan dirinya sebagai pengerusi gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor.

Berdasarkan video itu, wanita itu mendakwa peningkatan jangkitan Covid-19 di Selangor disebabkan tindakan pengusaha kilang sarung tangan memindahkan pekerjanya yang positif Covid-19 daripada asrama pekerja terletak di Petaling Jaya dan menempatkan di dua hotel di daerah Klang bagi membolehkan mereka hadir bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, Arjunadi memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan 266 kompaun hasil 7,922 pemeriksaan meliputi kilang dan premis perniagaan menerusi Ops Patuh.

Ujarnya, antara kesalahan dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka, tidak mendaftar kehadiran di premis (MySejahtera) dan memalsukan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Bagi pelaksanaan pematuhan PKPD pula sebanyak 1,045 kompaun telah dikeluarkan setakat ini termasuk melakukan kesalahan tidak mematuhi penjarakan fizikal,” jelasnya. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI