PETALING JAYA – Pemain utama industri dilihat optimis terhadap masa depan sektor pelancongan di rantau ini, meskipun kebanyakan operasi terpaksa ditutup bagi memberi laluan kepada langkah kawalan pandemik.
Naib Presiden Pembangunan Korporat Agoda, Tim Hughes berkata, minat dan keinginan untuk melancong kini berada pada paras yang terlalu tinggi akibat lama ‘dikurung’ Covid-19 dan industri pasti akan kembali rancak selepas ekonomi dan sempadan dibuka semula.
Jelasnya, hal ini dapat dilihat pada lonjakan sektor pelancongan apabila langkah kawalan dilonggarkan buat sementara di Malaysia pada penghujung tahun lalu dan situasi sama turut dapat disaksikan di pasaran lain seperti Vietnam, Thailand dan rantau Amerika serta Eropah.
“Misalnya baru-baru ini, terdapat berita Singapura serta Hong Kong akan mengkaji cadangan gelembung perjalanan dan laporan ini telah meningkatkan jumlah carian melibatkan pelancongan sebanyak 14 kali ganda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi webinar bertajuk ‘Adakah Industri Pelancongan ASEAN Telah Mati?’ semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Central Plaza Hotel Group, Markland Blaiklock berkata, apa yang boleh dilakukan adalah mencontohi inisiatif Thailand yang telah membuka gelembung perjalanan di Phuket baru-baru ini.
“Beberapa kepulauan di Sabah misalnya berada pada situasi hampir sama seperti Phuket, yang mana vaksinasi dan kawalan pergerakan mudah untuk dilaksanakan.
“Apa yang penting bagi kerajaan kini adalah menyediakan protokol jelas bagi mengawal keadaan.
“Bagi situasi di Phuket, terdapat 2,000 ketibaan pelancong pada Julai dan meskipun terdapat 14 orang perlu dikuarantin, namun 2,000 yang lain masih dapat bercuti,” katanya.