CARA hidup masyarakat bukan sahaja di negara ini, malahan seluruh dunia berubah secara drastik selepas dikejutkan dengan ‘serangan’ pandemik Covid-19 yang sehingga kini masih belum ada sebarang tanda untuk kembali pulih.
Jutaan manusia di seluruh dunia maut akibat dijangkiti wabak tersebut, manakala ramai lagi belum sembuh sepenuhnya.
Sejak ia dikesan di negara ini, banyak perubahan telah berlaku dalam kalangan rakyat terutamanya dari segi kehidupan seharian.
Ini termasuk bekerja dari rumah, pembelian makanan dan barangan secara dalam talian, malahan lebih teruk ramai yang kehilangan pekerjaan ekoran sektor tertentu yang terkesan dengan pandemik terpaksa ditutup.
Ekoran itu, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang kini menghidapi masalah stres, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak dapat membiasakan diri dengan perubahan yang berlaku sekarang.
Persoalan pertama yang perlu difahami adalah bagaimana kita mengetahui diri mengalami masalah stres?
Untuk itu, seseorang individu boleh menjalani ujian mudah yang dinamakan Depression Anxiety Stress Scale 21 (DASS 21) yang kini boleh dilakukan melalui dalam talian.
Dalam ujian berkenaan, anda akan ditanya sebanyak 21 soalan dan setelah selesai menjawab kesemuanya, markah akan diberikan melalui komponen stres, kegelisahan (anxiety) dan kemurungan (depression).
Di sini, saya berbesar hati memberikan beberapa penyelesaian atau langkah-langkah yang boleh dilakukan jika anda berasa diri berada dalam keadaan stres.
Pertama sekali, kita perlu membuat senarai stres yang dialami dengan menyediakan diari untuk beberapa minggu.
Apa yang perlu dibuat adalah catatkan masa dan tempat atau orang yang menyebabkan kita jadi stres.
Melalui kaedah atau cara ini, kita akan mengetahui paten atau punca berlakunya stres.
Sebagai contoh, ada ketikanya kita boleh berasa stres semasa berada dalam kesesakan lalu lintas yang lama semasa ke pejabat dan menunggu untuk membuat bayaran di kaunter tertentu.
Dengan itu, kita dapat mencari alternatif lain untuk mengelakkan diri daripada mendapat stres.
Justeru, selepas mengetahui punca stres, terdapat dua cara untuk menyelesaikannya.
Pertama, seseorang individu itu boleh berjumpa atau berkomunikasi dengan kawan rapat atau orang yang boleh dipercayai dan berkongsi masalah dengan mereka.
Melalui kaedah ini, anda dapat menenangkan jiwa dan perasaan kerana beban yang ditanggung sudah terlepas setelah dikongsi dengan orang lain.
Seterusnya, anda juga boleh melakukan teknik bertenang atau relaks sewaktu dalam keadaan stres atau berasakan bakal menghadapi masalah tersebut.
Ia boleh dipecahkan kepada lima kategori iaitu latihan pernafasan dalaman, pengenduran positif, time out, bersenam dan juga melakukan hobi.
Melalui teknik latihan pernafasan dalaman, anda perlu menarik nafas sedalamnya dan kemudian menghembusnya dengan perlahan.
Lakukan beberapa kali sehingga masalah stres berkurangan.
Selain itu, anda juga boleh melakukan regangan otot dengan memusing leher ke kanan dan kiri, selain regangan bahu beberapa kali sehingga rasa tenang.
Bagi teknik pengenduran positif untuk menghilangkan stres pula, anda boleh mencuba mandi air panas, berjalan-jalan di taman dan mendengar muzik.
Dalam pada itu, untuk menangani stres melalui teknik time out, anda dinasihatkan mengambil cuti selepas beberapa hari bekerja.
Cuba bangun awal supaya ada masa untuk merancang hari anda dan jangan tergesa-gesa kerana ini dapat juga mengurangkan stres.
Di samping itu, ambil waktu anda untuk makan dan jangan melakukan pekerjaan pada waktu tengah hari.
Seterusnya, untuk menangani stres juga, seseorang itu boleh menggunakan teknik bersenam.
Bersenam dengan kerap juga dapat mengurangkan stres dan anda boleh memilih untuk melakukan senaman yang anda suka.
Terakhir sekali, anda boleh menangani stres dengan melakukan perkara yang diminati atau hobi seperti berkebun, memelihara kucing dan sebagainya.
Apa yang bagusnya, teknik ni boleh dilakukan tanpa ada had waktu kerana ia memang minat kita, sekali gus dapat dapat melupakan sekejap masalah yang melanda diri.
Jika kesemua kaedah ini telah dicuba dan stres anda tidak hilang atau berkurangan, malahan menjadi semakin teruk, anda dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
—————————————————————————————————————————————
DR. ISKANDAR MIRZA AMRAN ialah Felo Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman, Institut Jantung Negara (IJN)