fbpx

Henti kecam Azreen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

TIADA siapa menjangka nama Azreen Nabila Alias dipilih me­ngisi slot wildcard untuk beraksi dalam acara 100 meter (m) pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun bermula pertengahan bulan ini.

Keputusan daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) itu sememangnya mengejutkan komuniti sukan olahraga tanah air yang rata-ratanya berpandangan masih ada atlet yang layak diberikan tiket tersebut.

Ada yang beranggapan pemilihan Azreen, 21, tidak sesuai kerana dia masih belum bersaing dalam acara individu pada mana-mana kejohanan intensiti tinggi di luar negara seperti Sukan SEA, Sukan Asia ataupun Sukan Komanwel.

Pelari pecut dari Terengganu itu cuma pernah mewakili kuartet 4x100m negara ketika meraih tempat keempat pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Bukan itu sahaja, catatan 100m terbaik Azreen, 11.92 saat (s) juga tidak begitu memuaskan jika dibandingkan dengan rekod kebangsaan milik G. Shanti, 11.50s atau 11.59s milik ratu pecut negara ketika ini, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Justeru, peminat-peminat sukan olahraga merasakan nama seperti pemegang rekod lompat tinggi kebangsaan, Yap Sean Yee atau atlet lompat kijang, R. Kirthana sepatutnya diberikan tiket wildcard, bukannya Azreen.

KOM ada alasan tersendiri memilih Azreen yang juga ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) 2018, untuk berentap dengan pelari-pelari handalan dunia di Stadium Olimpik bermula 30 Julai ini.

Presiden KOM, Datuk S M Muthu menjelaskan, Olahraga Dunia telah memberi arahan hanya nama atlet dalam acara pecut akan diluluskan untuk meraih tiket wildcard.

“Acara lain tak boleh, pecut sahaja. Mereka (Olahraga Dunia) beri arahan, bukan kita suka-suka hati nak hantar atlet kerana mulanya kita nak namakan Sean Yee.

“Mereka kata tak boleh dan mahukan pelari pecut. Cuma janganlah hantar atlet yang langsung tak boleh lari… dapat tempat tercorot kerana boleh jejaskan nama baik Malaysia,” katanya.

Sebenarnya, pemilihan KOM adalah tepat kerana Azreen diramal sebagai calon seterusnya yang akan menggalas harapan negara pada kejohanan-kejohanan besar menggantikan tempat Zaidatul.

Zaidatul juga pernah diberikan tiket wildcard beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dan berjaya mara sehingga ke pusingan kedua ketika itu.

Bagaimanapun, atlet pecut dari Kuala Nerang, Kedah itu dikatakan masih berusaha mencapai tahap pemulihan sejak menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada Julai tahun lalu.

Bagi bekas atlet pecut kebangsaan, Nazmizan Muhammad, beliau berharap penyertaan Azreen pada Olimpik Tokyo 2020 mampu menjadi titik permulaan kepada peningkatan prestasinya selepas ini.

“Pemilihannya pun dipertikaikan tetapi berdasarkan justifikasi Olahraga Dunia yang mahukan pelari pecut wanita, dia (Azreen) adalah orang yang paling sesuai.

“Orang kata Olimpik bukan tempat pendedahan tetapi kalau tak hantar, sampai bila-bila dia takkan dapat rasai peluang ini. Ini peluang dia bersaing dengan atlet-atlet bertaraf tinggi.

“Kita jangan kecam, sebalik­nya positif dan mendoakan kejayaannya. Nak menang memang mustahil tetapi kalau dia dapat perbaiki rekod peribadi, ia adalah satu pencapaian terbaik buat dirinya,” jelas Nazmizan.

Mungkin pengalaman pada O­limpik Tokyo 2020 nanti mampu menjadi pembakar semangat buat Azreen untuk mula memahat namanya selaku antara pelari pecut terbaik pernah lahir di rantau Asia. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI