fbpx

Bisik hati seiring pandemik – Isyariana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISYARIANA

ISYARIANA, pemenang kategori Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular edisi 2020 kini mengorak langkah dengan mengeluarkan single solo pertamanya iaitu Bisik Hati.

Isyariana atau lebih dikenali sebagai Isya kini mampu menarik nafas lega apabila video lirik rasmi Bisik Hati telah mendapat sehingga 10,000 tontonan selepas 23 hari dilancarkan bermula 6 Jun 2021 lalu menerusi laman YouTube peribadi, Isyariana TV.

Lebih membanggakan, video lirik rasmi dihasilkan dengan sentuhan Isya atau nama sebenarnya Isyariana Che Azmi sendiri dengan memaparkan visual dedaunan yang luruh, sekali gus membuatkan selebriti jelita itu berasa puas hati.

Menurut Isya, daun-daun yang meluruh itu adalah simbolik keluluhan hati seseorang yang menyedari kesilapannya, namun masih tetap melakukan kesalahan sama.

Bercerita lebih lanjut, lagu Bisik Jiwa ciptaan Ikhwan Fatanna bersama Wan Salleh serta lirik juga nukilan Ikhwan Fatanna sebenarnya mengisahkan cinta agung.

“Lagu Bisik Hati ini bercerita tentang bisikan hati seorang hamba kepada pencipta-Nya,” kata Isya.

Sepenuh jiwa

Kata Isya, selepas lima tahun meninggalkan pentas Akademi Fantasia 2016 (AF 2016), sudah menjadi impiannya sebagai penyanyi untuk menghasilkan lagu sendiri.

“Bagaimanapun, dek kekangan masa sebagai pelakon, impian saya untuk meneruskan karier nyanyian agak perlahan.

“Pada masa sama, saya juga sebenarnya amat teliti dalam pemilihan lagu.

“Lagu yang ingin dirakamkan haruslah kena dengan jiwa dan genre yang bersesuaian dengan saya.

“Sebenarnya banyak demo (lagu) yang saya dapat sehinggalah lagu Bisik Hati berjaya menusuk ke jiwa saya,” jelasnya.

Lagu tersebut sangat dekat dengan Isya memandangkan jiwanya lebih ke genre balada.

“Bila pertama kali mendengar demo lagu ini, saya terus bersetuju untuk menjadikan lagu Bisik Hati sebagai single pertama saya,” katanya.

Mengimbas kembali ketika pembikinan lirik video lagu Bisik Jiwa, Isya berkata, dia hanya mengambil masa selama 24 jam untuk menghasilkan lirik video lagu tersebut mengikut keselesaan dan visual diinginkan.

“Saya sangat gembira dan berpuas hati apabila Bisik Hati diterbitkan oleh syarikat pengurusan sendiri iaitu YSI Entertainment,” jelasnya.

Pelakon drama bersiri Hati Yang Dikhianati itu turut menghadiahkan lagu Bisik Hati buat para peminat yang sentiasa menyokong kerjayanya selama ini.

“Saya rasakan waktu pandemik ini adalah waktu yang sesuai untuk Bisik Hati dilancarkan kerana nukilan liriknya sunggut tepat untuk menggambarkan situasi mencabar yang dihadapi semua.

“Saya ingin peminat tahu bahawa saya tidak berniat untuk meninggalkan bidang nyanyian.

“Mungkin single ini adalah permulaan untuk saya kembali aktif dalam seni suara selain mendapat sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan,” ujarnya.

Bisik Hati kini boleh dilayari menerusi platform digital seperti Spotify, Joox, Apple Music, ITunes dan YouTube Music sejak 2 Julai 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI