ANGGOTA kumpulan 2PM, Taecyeon baru-baru ini berkongsi kisah mendebarkan yang dialaminya dengan peminat fanatik atau ‘sasaeng’ ketika berada di luar negara.
Menerusi episod terbaru, Ask Us Anything, rakan sekumpulannya, Nickhun memberitahu bahawa Taecyeon pernah mengalami kejadian menakutkan apabila bilik tidur mereka telah diceroboh masuk pada waktu malam.
Sangka Taecyeon, mungkin ada seseorang telah secara tidak sengaja memasuki bilik yang salah.
“Kami sedang tidur di bilik. Tiba-tiba saya terdengar satu bunyi dan pintu terbuka. Kemudian saya terdengar suara sekitar lima atau enam wanita memasuki bilik.
“Mula-mula, saya fikir kejadian tersebut sebagai insiden tersalah masuk bilik? Apakah yang sedang berlaku?,” katanya.
Tambahnya, perkara tersebut terjadi disebabkan salah faham antara pihak pengurusan hotel dan tetamu selain memohon maaf kepada mereka.
“Kami memberitahu pihak hotel mengenai hal itu dan sebagai permohonan maaf, mereka memberi kami champagne percuma,” ujarnya.