fbpx

Bila bola itu bulat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

BERGEGAR seluruh Stadium Wembley dengan sorakan gegak gempita kira-kira 67,000 penyokong yang hadir menyaksikan England melangkah ke pentas final Euro 2020 buat julung-julung kalinya.

Cukup meriah bagaikan sudah aksi final, namun ada selangkah lagi yang perlu England hadapi selepas berjaya membenam keghairahan Denmark 2-1 pada perlawanan separuh akhir awal pagi semalam.

England dengan jolokan Three Lions yang dibimbing oleh Gareth Southgate sejak tahun 2016, diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Euro 2020 apatah lagi berkelebihan beraksi di laman keramat sendiri di Stadium Wembley, London.

Melihat kepada laluan yang diharungi England pada Euro 2020, ia tampak mudah tetapi benar-benar menguji bermula dengan kemenangan 1-0 ke atas Croatia, seri 0-0 dengan Scotland dan menang 1-0 terhadap Republik Czech untuk muncul sebagai juara peringkat kumpulan.

Memasuki pusingan 16 terbaik, halangan terbesar Three Lions adalah musuh lamanya, Jerman tetapi England berjaya menundukkan anak-anak buah Joachim Low 2-0 untuk ke suku akhir sebelum membelasah Ukraine 4-0 bagi melangkah ke separuh akhir bertemu Denmark.

Ada yang menyifatkan laluan England mudah dan ada sebaliknya, namun pasukan menunggu Three Lions pada aksi final bukan calang-calang bahkan pilihan ramai untuk menjulang kejuaraan iaitu Itali.

Tidak seperti England, skuad Azzurri bimbingan Roberto Mancini melangkah ke final dilihat seperti dirancang, sangat lancar dan menepati ramalan apabila menang ke atas Turki 3-0 sebelum membenam Switzerland juga 3-0 dan Wales 1-0.

Anak-anak buah Mancini juga tidak berdepan masalah menyingkirkan Austria 2-1 pada pusingan 16 terbaik meskipun diheret hingga masa tambahan sebelum buku bertemu ruas menentang Belgium, namun masih berjaya dengan kemenangan 2-1.

Cuma, Itali agak cemas apabila mengharungi aksi getir dengan Sepanyol apabila pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti apabila kedua-dua terikat 1-1 selepas 120 minit dan sekali lagi tuah bersama Azzurri yang menang 4-2.

Sekarang, dua jagoan Eropah iaitu England dan Itali akan bersemuka di pentas final di Stadium Wembley, ibarat aksi heavyweight yang menunggu masa untuk melepaskan tumbukan padu ke muka lawan, namun persoalannya pasukan mana benar-benar pada anda mampu menjulang kejuaraan Euro 2020?

Mungkin England atau mungkin Itali. Situasinya sudah 50-50, tidak lebih dan tidak kurang. Dilihat sama hebat, sama handal kerana kedua-dua pasukan itu berjaya ke final. Menelah England nanti, khuatir Itali pula yang menang, begitu juga sebaliknya.

Jadi, untuk tidak berat sebelah, penulis memetik kata-kata ketua jurulatih legenda Jerman Barat, Sepp Herberger yang menjulang Piala Dunia 1954 dengan menyebut; “Der Ball ist rund und das Spiel dauert 90 Minuten”.

Maksudnya; “Bola itu bulat, perlawanan ada 90 minit”. Ia bagi menggambarkan bahawa apa-apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit perlawanan itu tanpa kita tahu ke mana arahnya bola bulat tersebut melantun, sama ada ke arah England atau Itali?

Pilihan anda pula bagaimana? -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI