fbpx

Berakhir sudah penantian 55 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARRY Kane (kanan) meraikan jaringan kemenangan England pada aksi separuh akhir Euro 2020 dengan menewaskan Denmark 2-1 di Stadium Wembley awal pagi semalam. – AFP

LONDON – England akhirnya menamatkan kemarau penan­tian selama 55 tahun untuk ­beraksi di pentas final kejohanan utama selepas berjaya menewaskan Denmark 2-1 pada saing­an separuh akhir Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi semalam.

Pada aksi tersebut, skuad Three Lions dipaksa bekerja ke­ras oleh pasukan pelawat yang mengheret saingan sehingga ma­sa tambahan selepas terikat 1-1 sebelum penyerang sensasi, Harry Kane berjaya meledak gol kemenangan.

Ketua jurulatih England, Gareth Southgate percaya apa yang dilalui oleh pasukannya itu bukan kebiasaan dan tidak keterlaluan untuk mengatakan kejayaan mara ke final bagaikan bulan jatuh ke riba selepas bekerja ke­ras sepanjang kejohanan ini.

“Saya katakan kepada dua pemain remaja kami, Bukayo Saka dan Jude Bellingham bahawa apa yang mereka alami ketika ini adalah sesuatu yang luar biasa memandangkan England tidak pernah mara ke pentas final mana-mana kejoha­nan dalam tempoh 55 tahun.

“Justeru, saya sa­ngat berbangga dengan apa yang pemain pamerkan khususnya pada aksi kali ini kerana mereka bekerja keras untuk bangkit meraih kemenangan meskipun ketinggalan satu gol dengan Denmark memberikan saingan cukup se­ngit.

“Apa yang lebih penting, keputusan ini juga memastikan impian penyokong setia dan juga seluruh rakyat di negara ini terus menyala dalam usaha menyaksikan pasukan menjuarai trofi Euro buat pertama kali,” katanya.

Mengulas lanjut, Southgate menyeru agar anak-anak buah­nya terus memberi tumpuan penuh menjelang aksi final apabila dijadualkan bertemu dengan Itali yang dianggap sebagai pasukan terbaik sepanjang kempen kali ini.

“Kita telah mengalami kekecewaan apabila tewas pada pentas separuh akhir Piala Dunia 2018 dan kini berjaya ke pentas final. Hanya satu sahaja lagi halangan dalam memastikan impian pasukan dapat direalisasikan apabila bertemu dengan Itali nanti.

“Di atas kertas, sudah pasti Itali merupakan pasukan lebih bagus dengan kekuatan bekerja dalam satu unit selain memiliki benteng pertahanan cukup ampuh dan saya anggap pertemuan itu sebagai final impian buat penyokong kami,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI