PETALING JAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa kawasan di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bermula 11 hingga hingga 24 Julai ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di Kuala Lumpur, kerajaan akan melaksanakan PKPD di Apartment Sri Rakyat, Bandar Bukit Jalil.
“Hasil pemantaun yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati trend kes telah meningkat dan setakat ini, sebanyak 94 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 598 orang penduduk di lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ismail Sabri, PKPD di negeri Sabah melibatkan Blok 11 dan 12, Lorong 4, Taman Nuri, Sandakan.
“Sehingga kini, KKM telah melakukan 16 ujian saringan dan sembilan daripadanya dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.
“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan PKPD di Jalan Kubur, WPKL yang dijadualkan tamat pada hari ini.
“Sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD, KKM telah melakukan 492 ujian saringan dan 258 daripadanya dilaporkan positif, KKM mendapati kes masih menular dalam kalangan penduduk selain terdapat kes baru direkodkan di lokaliti tersebut.
“Justeru itu, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di kawasan terbabit bermula esok hingga 15 Julai depan,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929