LONDON – Bekas penyerang legenda England, Ian Wright percaya kunci utama kejayaan skuad The Three Lions mara ke pentas final saingan Euro 2020 dengan menewaskan Denmark 2-1 pada aksi separuh akhir berpunca daripada aksi memukau Raheem Sterling.
Pada aksi di Stadium Wembley itu, bintang Manchester City tersebut memacu jentera serangan England dengan memberi kesukaran buat benteng pertahanan lawan sepanjang 120 minit perlawanan selepas aksi diheret hingga masa tambahan.
Malah, gerakan yang dilakukan oleh Sterling menyaksikan pertahanan Denmark, Simon Kjaer terpaksa menampan gol ke gawang sendiri.
Selain itu, Joakim Maehle turut menjatuhkan pemain berusia 26 tahun itu dalam kotak penalti sehingga memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang berjaya dimanfaatkan oleh Harry Kane.
Kata Wright, bekas pemain Liverpool itu berada di kemuncak karier dan sedang menutup kritikan awal yang dilemparkan kepadanya apabila membantu England menamatkan badi 55 tahun untuk melangkah ke final kali pertama sejak Piala Dunia 1966.
“Sterling sekali lagi menutup mulut pengkritik dan berjaya mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan ini. Dia adalah wira buat skuad England pada peringkat kumpulan dengan menjaringkan tiga gol dan momentum tersebut diteruskan sehingga kini.
“Walaupun tidak menjaringkan gol, setiap gerakan dilakukan cukup lincah dan berbahaya sehingga menyaksikan benteng pertahanan Denmark tidak boleh bernafas sepanjang perlawanan.
“Kami semua cukup teruja menyaksikan peningkatan mendadak Sterling,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain legenda England, Gary Neville percaya semangat berpasukan dan taktikal ampuh yang diterapkan oleh pengendali, Gareth Southgate berjaya memerangkap pasukan pelawat.
“Denmark berjaya memberikan saingan sengit pada awal saingan tetapi mungkin atas faktor kepenatan, mereka tidak mampu untuk mengekang asakan England khususnya pada masa tambahan.
“Pujian wajar diberikan kepada Southgate dan semua pemain yang memastikan impian untuk ke final Euro buat kali pertama kali menjadi realiti,” kata Neville. – AGENSI