PUTRAJAYA – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang sudahpun mempunyai lebih 20,000 ahli akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pertamanya tidak lama lagi.
Timbalan Presidennya, Datuk Marzuki Yahaya berkata, ia selepas parti itu sudah diluluskan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan menjadi sebuah parti sah, semalam.
Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Luar Negeri berkata, bagi memantapkan gerakan parti, AGM perlu diadakan segera iaitu dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pelbagai perkara diselesaikan.
“Perancangan pertama adalah mengadakan AGM kerana kita mahu meluluskan beberapa pindaan yang memerlukan perhatian dalam AGM.
“Malah sehingga saat ini, kita mempunyai lebih 20,000 ahli dan Pejuang sudah boleh membuka penyertaan secara rasmi selepas mendapat makluman rasmi RoS semalam,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengambil sijil kelulusan parti di perkarangan Kompleks D, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung Pejuang yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.
Semalam, Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan partinya sudah diluluskan RoS tetapi tidak sekali-kali menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam perkembangan berkaitan keahlian, Marzuki berkata, pendaftaran ahli dibuka mulai hari ini selepas Pejuang manjadi parti yang sah.
“Sebelum ini, Pejuang menerima hampir lebih 20,000 orang yang berminat menyertai parti maka hari ini, secara rasminya mereka semua itu telah menjadi ahli yang sah,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929