fbpx

Taliban kepung ibu negeri wilayah Badghis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASAP hitam naik ke udara semasa tentera kerajaan bertempur dengan pejuang Taliban di bandar Qala-i- Naw semalam. - AFP

KABUL, Afghanistan – Asap tebal menyelubungi ibu negeri sebuah wilayah di Afghanistan ketika pertempuran sengit antara pejuang Taliban dan tentera kerajaan memasuki hari kedua hari ini.

Kerajaan mengerahkan beratus-ratus komando ke bandar Qala-i-Naw, di wilayah Badghis, barat laut Afghanistan. Badghis merupakan ibu negeri wilayah Afghanistan pertama berdepan serangan Taliban sejak Amerika Syarikat(AS) mempercepatkan pengunduran tenteranya.

Ketika pengunduran tentera AS 90 peratus selesai, kumpulan Taliban  melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran untuk menawan wilayah baharu, manakala kebimbangan meningkat bahawa tentera Afghanistan tidak akan mampu bertahan tanpa bantuan serangan udara AS.

Pegawai kesihatan Badghis,  Abdul Latif Rostaee berkata, sekurang-kurangnya 10 orang awam dibawa ke hospital sejak pertempuran meletus.

“Taliban kembali melancarkan serangan dari sebilangan arah menggunakan senjata ringan dan berat.

“Pasukan keselamatan kami bertempur dengan musuh dan memaksa mereka berundur. Kami akan mengalahkan mereka,” kata Gabenor Badghis,  Hessamuddin Shams kepada agensi berita AFP hari ini.

Semalam pejuang Taliban menawan seketika ibu pejabat polis dan agensi perisikan Afghanistan di bandar itu sebelum dipaksa berundur.

Penduduk Qala-i-Naw,  Aziz Tawakoli berkata, pejuang-pejuang Taliban masih berkeliaran di bandar itu.

“Anda boleh melihat mereka meronda dengan menaiki motosikal di jalan-jalan ,” katanya.

Menurut Aziz, ramai daripada 75,000 penduduk Qala-i-Naw meninggalkan kediaman masing-masing, sama ada melarikan diri ke daerah berdekatan atau wilayah Herat yang berjiran dengan Badghis

“Kedai-kedai ditutup dan jalan-jalan lengang,” katanya sambil menambah, helikopter dan pesawat mengebom sasaran Taliban sepanjang malam. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN