LONDON – Kapten Sepanyol, Sergio Busquets bertekad untuk mengubati kekecewaan gagal ke final Euro 2020 dengan menyasarkan kejuaraan Piala Dunia 2022 di Qatar.
Sepanyol tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dengan Itali dalam tempoh 120 minit permainan di Stadium Wembley awal pagi semalam.
Bagaimanapun, Busquets, 32, percaya La Roja kini berada di landasan tepat untuk merampas semula status selaku juara dunia sejak melakukannya pada 11 tahun lalu sewaktu edisi 2010 di Afrika Selatan.
“Walaupun kami gagal melangkah ke final tetapi pencapaian ini membuktikan kami sudah bersedia untuk menghadapi Piala Dunia 2022 di Qatar. Kami mempunyai masa setahun setengah lagi untuk bersedia sepenuhnya sebelum ia bermula.
“Pasukan ini sangat berpotensi tetapi satu-satunya kehilangan kami sekarang adalah perlawanan akhir. Namun, kami masih bersemangat dan sedia membuktikannya (Piala Dunia 2022),” kata Busquets.
Pada masa sama, bintang Barcelona itu menegaskan, pasukan Sepanyol membuktikan mereka lebih hebat berbanding Itali, cuma tidak bernasib baik apabila kalah menerusi penentuan sepakan penalti.
“Semua orang bercakap mengenai pasukan Itali adalah pilihan utama tetapi sekarang anda boleh melihat permainan kami tampak lebih unggul berbanding mereka.
“Kami berjaya menguasai sebahagian besar permainan dan cepat merampas semula kehilangan bola.
“Namun, inilah bola sepak kerana akhirnya anda boleh kalah juga. Kami perlu terima hakikat dan mengucapkan tahniah kepada Itali,” jelas Busquets. – AGENSI