PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan individu dipercayai sebuah keluarga ‘menyapu’ hampir semua barangan ‘food bank’ yang diletakkan di sebuah stesen minyak mengundang kecaman orang ramai.
Aksi ‘tamak’ kumpulan tersebut berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) stesen minyak itu sebelum ia dimuat naik dan tular di laman Twitter milik @jnmalaysia.
Menerusi klip video berdurasi satu minit 37 saat itu, kelihatan sekumpulan individu menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna merah telah berhenti di stesen minyak berkenaan.
Kemudian, lima individu telah keluar dari kereta berkenaan sebelum ‘menyerang’ food bank yang diletakkan di stesen minyak itu sehingga hampir semua makanan ‘disapu’ mereka.
“Food bank ini untuk orang memerlukan sahaja, janganlah tamak ingat orang lain pun memerlukan juga.
“Kalau macam ni letak satu kontena pun habis barang,” ciap @jnmalaysia.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh kejadian itu berlaku.
Sementara itu, rata-rata pengguna Twitter yang membalas ciapan tersebut meluahkan rasa kecewa dengan sikap yang ditunjukkan kumpulan terbabit dan mereka amat kesal dengan perbuatan mereka.
“Saya pun dah terkena minggu ni, niat nak tolong orang susah, tapi orang tu yang kenakan kita balik.
“Menipu kata rumah lain-lain tetapi rumah sama dalam satu keluarga selepas selidik. Kesian pada yang betul-betul susah,” ciap @NurulShima_3.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929