LONDON – Tonggak pertahanan Itali, Leonardo Bonucci percaya mereka selangkah sahaja lagi untuk menamatkan penantian 53 tahun mendakap trofi Euro sejak kali terakhir memenanginya pada tahun 1968.
Keyakinan itu hadir selepas Azzurri mara ke pentas final Euro 2020 apabila menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Sepanyol selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh akhir di Stadium Wembley awal pagi semalam.
“Kami tidak boleh berasa selesa kerana sekarang cuma ‘satu sentimeter’ lagi untuk kami menjuarai kejohanan ini.
“Kami perlu menunjukkan keinginan yang sama apabila bermain pada final yang akan berlangsung lima hari lagi. Kami perlu terus berkorban untuk membawa pulang trofi ini selepas sekian lama gagal melakukannya,” kata Bonucci.
Sebagai rekod, skuad bimbingan Roberto Mancini itu pernah tewas di pentas final Euro sebanyak dua kali sewaktu edisi 2000 kepada Perancis dan Sepanyol pada 2012.
Sementara itu, penyerang Itali, Federico Chiesa mendedikasikan anugerah pemain terbaik (MVP) yang dimenanginya dalam perlawanan tersebut kepada Leonardo Spinazzola yang terlepas kempen Euro 2020 kerana menjalani pembedahan kaki kiri kelmarin.
“Perlawanan ini sangat sukar tetapi akhirnya kami telah membuktikan Itali lebih layak ke pentas final berbanding Sepanyol.
“Benteng pertahanan kami akan lebih kebal jika Spinazzola ada tetapi inilah lumrah bola sepak. Sekarang kami ada masa yang cukup untuk bersedia sepenuhnya menghadapi aksi final nanti,” jelasnya. – AGENSI