fbpx

Salahkah golongan M40 ‘mengemis’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Tular di Twitter baru-baru ini mengenai kisah seorang wanita dan suaminya yang bekerja dalam bidang profesional dengan pendapatan RM8,000 seorang, namun diuji apabila hilang pekerjaan setahun lalu.

Kebahagiaan pasangan itu bersama anak-anak yang masih kecil diragut sekelip mata sehingga ke tahap terpaksa bercatu makanan. Kisah itu mendapat perhatian ramai termasuk selebriti popular, Neelofa.

Di Facebook pula, seorang wanita mengajukan soalan adakah kumpulan M40 yang terjejas pendapatan di musim pandemik ini layak memohon bantuan.

Isu ini timbul selepas ada antara mereka dikatakan sudah tertekan kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan makanan dipertikaikan kerana berada dalam kumpulan M40.

Inilah nasib yang dialami kumpulan M40. Mereka merupakan kumpulan pertengahan yang mempunyai pendapatan RM4,800 hingga RM10,970 dan paling ramai di Malaysia.

Jika sebelum pandemik, kehidupan mereka cukup selesa, namun kini terpaksa menerima hakikat menyara kehidupan dengan separuh gaji, ada yang dipaksa bercuti kerana majikan sudah tidak dapat lagi menampung kos, ada yang ditamatkan kontrak dan lebih teruk diberhentikan kerja.

Bagi yang mempunyai perniagaan pula, sudah pasti ada yang terjejas apabila premis terpaksa ditutup, jika beroperasi sekalipun tidaklah serancak dulu sebelum wabak korona membadai negara.
Tetapi inilah realiti yang perlu dihadapi.

Hakikatnya, mereka bukan tiada wang simpanan, tetapi kehidupan normal baharu ini sudah lama berlarutan memasuki tahun kedua, bukannya sebulan. Bukit sekiranya ditarah setiap hari juga lama-lama akan jadi rata.

Tanpa kita sedar, ada suami isteri yang tidak tidur malam mencari jalan untuk melunaskan pinjaman, membayar bil-bil dan mencari sesuap makanan untuk hari-hari mendatang yang belum tentu semakin kelam atau bertukar terang.

Disebabkan kecewa, ada pihak yang secara sinis menyarankan supaya menjual televisyen LCD, pakaian dan beg berjenama dan kenderaan sebelum mengibarkan bendera putih.

Sepatutnya dalam situasi getir ini, kita sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap pemurah bersama-sama berganding bahu membantu mereka yang terkesan bukannya mempertikai dan menilai harta benda.

Mencongak jumlah kenderaan yang dimiliki, saiz rumah dan jawatan sebelum menghulurkan bantuan. Jangan dinafikan hak atau dihina orang yang sebelum ini dilihat berkemampuan.

Adalah lebih baik tutup mulut sekiranya tidak dapat membantu. Itu lebih molek daripada mempertikai bantuan yang diterima orang secara membabi buta tanpa usul periksa.

Tidak mustahil, di dalam rumah teres dua tingkat yang dilihat luarannya sempurna ada ketua keluarga yang sedang berkira-kira mengambil tindakan di luar jangka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI