PETALING JAYA – Orang ramai terus menyalahkan pembukaan kilang-kilang sebagai punca kenaikan kes Covid-19 secara mendadak hari ini terutama di Selangor.
Tinjauan Kosmo! di laman sosial mendapati, rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa apabila banyak kilang didakwa dibenarkan beroperasi walaupun negara kini berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seorang netizen, Nexlana berkata, kes Covid-19 di negara ini tidak mungkin akan turun sekiranya kilang-kilang masih dibenarkan beroperasi.
“Kami duduk rumah sahaja, kenapa kilang-kilang tidak ‘lockdown’ sama? Kalau terus begini bila kes nak habis?,” soalnya.
Seorang lagi netizen dikenali sebagai Suleeana pula meluahkan berasa penat menetap di Selangor kerana masih perlu bekerja walaupun kes tertinggi dicatatkan hampir setiap hari di negeri itu.
“Sebab ramai kerja senyap-senyap dalam pejabat tapi hakikatnya pejabat tutup. Saya penat duduk Selangor!,” luahnya.
Tidak kurang juga ada netizen yang mencadangkan sekiranya kilang mahu terus beroperasi, asingkan pekerjanya supaya tidak keluar berjumpa orang awam.
“Sebab kilang. Buatlah kilang ‘bubble’. Jangan kasi keluar, kerja sahaja,” cadang hafizuddin.
Seorang lagi netizen pula berkata, kes semakin meningkat akibat saringan daripada pekerja kilang yang dibenarkan beroperasi semasa PKP.
“Ada sesetengah kilang, pekerja disarankan buat ujian calitan setiap dua minggu,” kata eyda_73.
Terdahulu, kes harian hari ini melonjak kepada 8,868 kes, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 kini mencecah 808,658 kes. Manakala di Selangor pula mencatatkan kes paling tinggi iaitu 4,152. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929