BAGAN SERAI – Tindakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan memberi kesan dalam pentadbiran kerajaan negeri ini.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, tindakan yang dilakukan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada peringkat pusat tidak menganggu sistem pentadbiran di negeri ini yang berjalan lancar.
Beliau bagaimanapun menghormati pendirian UMNO dalam mencapai keputusan itu dan pada masa sama masih berpegang kepada akuan bersumpah menyokong Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad yang ditandatangani Disember lalu.
“Selepas berlakunya peralihan kuasa semasa pemerintahan Pakatan Harapan, 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah memberi kepercayaan kepada Menteri Besar (Saarani).
“Jadi dalam isu siapa yang nak tarik diri atau keluar pada peringkat pusat itu tidak menjejaskan urus pentadbiran negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan barang keperluan harian sumbangan Econsave Cawangan Bagan Serai di Kampung Tepi Kolam hari ini.
Tambah Razman, pada masa ini pihaknya lebih memberi fokus untuk terus bekerja membantu rakyat yang terjejas dalam tempoh pandemik.
Katanya lagi, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka bermula pada 25 Ogos nanti turut akan berjalan seperti dijadualkan. -K! ONLINE