PETALING JAYA – Permohonan untuk mendapatkan kemudahan moratorium mula dibuka semalam, namun ramai peminjam yang masih berkira-kira untuk memohon kemudahan bayaran balik pinjaman itu.
Kebanyakan peminjam bimbang kadar faedah pinjaman akan meningkat secara keseluruhan sehingga membebankan mereka pada masa hadapan.
Seorang pensyarah universiti swasta, Azliza Azrah, 44, berkata, walaupun masih mampu membayar ansuran pinjaman bank, dia sedang mempertimbangkan untuk mengambil moratorium sebagai simpanan kecemasan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini.
“Saya sedang mempertimbangkannya sebagai simpanan kecemasan atau menggunakan wang yang sepatutnya membayar pinjaman itu untuk mengurangkan hutang kad kredit.
“Saya fikir pihak bank juga perlu memberikan ilustrasi yang lebih jelas mengenai cara pengiraan moratorium supaya masyarakat lebih memahami implikasi selepas moratorium berakhir,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam tinjauan di media sosial, ramai yang juga mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan untuk memohon moratorium.
Seorang pengguna media sosial yang dikenali John Labu, dia masih keliru dengan kaedah pengiraan faedah pinjaman.
Katanya, berdasarkan pemahaman, peminjam masih perlu membayar faedah sekali gus menyebabkan kos pinjaman bank akan meningkat.
“Pening kepala saya. Siapa boleh bantu terangkan secara ringkas dan tepat?” soalnya.
Bagaimanapun, bagi peminjam yang berada dalam kesusahan akibat krisis Covid-19, mereka tiada pilihan selain memohon moratorium walaupun berdepan faedah tambahan.
Seorang kakitangan swasta, Samara Natasha berkata, golongan yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh terpaksa memohon moratorium terutama pinjaman perumahan.
“Kerja tiada, pendapatan tiada. Jika tidak ambil bantuan ini, rumah akan tergadai, hilang tempat tinggal,” katanya.
Bagi Aduka Putra pula, dia terpaksa ‘butakan mata’ untuk melihat keuntungan yang akan pihak bank peroleh sekiranya ramai yang mengambil bantuan bayaran balik pinjaman.
“Saya celikkan mata untuk mengambil moratorium. Keadaan sangat-sangat terdesak. Kami hanya ada satu pilihan iaitu moratorium,” ujarnya.
Di Marang, seorang pembantu kantin sekolah, Mohd Aidil Adha Harun, 37, terpaksa memohon moratorium bagi mengurangkan bebanan kewangan yang dialami ketika ini.
Katannya, dia tidak dapat bekerja ekoran sekolah masih belum boleh beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.
“Dengan bantuan ini, saya boleh menggunakan wang itu untuk menampung perbelanjaan harian keluarga,” katanya.
Kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) kelmarin memberitahu, semua peminjam sama ada individu, perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang ingin memohon moratorium boleh berbuat demikian mulai semalam.
Menurut BNM, tiada dokumen sokongan diperlukan dan kelulusan akan diberikan secara automatik.
Selain moratorium, bank-bank akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej-pakej lain termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.