BRASILIA – Kapten Argentina, Lionel Messi menghamburkan pujian kepada penjaga gol, Emiliano Martinez selepas menjadi watak penting membawa pasukan itu ke perlawanan akhir Copa America 2021.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Mane Garrincha semalam, Argentina menyingkirkan Colombia apabila menang 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.
Martinez diangkat sebagai wira skuad Albiceleste apabila dia menyelamatkan tiga sepakan pemain Colombia pada aksi penentuan sepakan penalti itu.
Kata Messi, dia sentiasa mempercayai kemampuan yang dimiliki penjaga gol Aston Villa itu meskipun aksi penentuan sepakan penalti sering bergantung pada faktor nasib.
“Tidak dinafikan, semua orang akui penentuan sepakan penalti bergantung pada nasib semata-mata tetapi kami tahu kemampuan yang dimiliki Martinez. Secara jujur, saya yakin dia boleh selamatkan sekurang-kurangnya dua sepakan.
“Dia penjaga gol yang hebat kerana setiap kali kami beraksi, kami akan rasa selamat. Bagi saya dia adalah ‘fenomena’ dan kami sangat gembira untuk melangkah ke final,” katanya.
Martinez dianggap penjaga gol terbaik pada saingan Copa America kali ini apabila memiliki tiga aksi tanpa bolos selain menyelamatkan empat daripada enam sepakan penalti yang dihadapi.
Sementara itu, ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni senada dengan Messi apabila melabelkan Martinez sebagai pencetus semangat buat pemain-pemain lain dalam setiap perlawanan.
“Sudah tentu saya sangat gembira dengan aksi yang ditampilkan Martinez bukan sahaja ketika penentuan sepakan penalti, malah pintu gol juga lebih terjamin dengan kehadirannya.
“Saya percaya barisan pertahanan juga gembira apabila Martinez berada di belakang mereka. Dia sentiasa memberi arahan-arahan penting kepada pemain-pemain ini,” ujar beliau. – AGENSI