SEBERANG PERAI – Tindakan seorang lelaki meletakkan sampah di luar tong sampah di kawasan Pasar Awam Kampung Baru, Bukit Mertajam di sini mendapat teguran serta merta penguatkuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melalui pembesar suara di kawasan berkenaan baru-baru ini.
Kejadian itu tular di media sosial selepas keratan klip video menunjukkan aksi tidak bertanggungjawab itu dimuat naik seorang pengguna aplikasi TikTok sehingga menerima banyak respon.
Rakaman dari televisyen litar tertutup (CCTV) MBSP itu menunjukkan lelaki berkenaan mengeluarkan sampah dari but sebuah kereta jenis Proton Wira sebelum meletakkannya di tepi sebuah tong sampah besar yang disediakan.
Video itu menunjukkan terdapat dua tong sampah dalam keadaan kosong sebelum muncul suara anggota penguatkuasa yang membuat pemantauan melalui CCTV menggunakan pembesar suara.
Lelaki itu yang kelihatan terpinga-pinga mendengar teguran tersebut kemudiannya segera mengalihkan sampah berkenaan ke dalam tong sampah.
Difahamkan tindakannya meletakkan sampah di luar tong kerana percaya tindakannya itu tidak dilihat orang lain.
Sementara itu, Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya memasang sebanyak 243 CCTV dan 15 Smart CCTV yang dipantau oleh Bahagian Keselamatan dan Komuniti MBSP menerusi program Bandar Selamat.
Difahamkan, teguran menerusi pemantauan CCTV turut dibuat kepada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang termasuklah menghalang tempat letak kereta orang kurang upaya (OKU). – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929