PUTRAJAYA – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menganggarkan terdapat lebih suku juta individu kategori pendapatan T20 dan M40 yang amat memerlukan bantuan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Sani Araby Al-Kahery Abdul Alim berkata, golongan itu hanya ‘memendam perasaan’ kerana malu hendak memaklumkan kehidupan sukar mereka.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat, kita sedang analisis data untuk tahun ini, tetapi secara keseluruhan, kes yang diterima adalah lebih 250,000 individu kategori T20 dan M40,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan Misi Bantuan Ihsan Mapim ke Pulau Redang dan Perhentian dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Acara itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini, yang turut melibatkan 12 aktivis Mapim.
Mengulas lanjut, Ahmad Sani berkata, kelompok T20 dan M40 itu turut memerlukan bantuan setelah muflis atau hilang kerja akibat kesan wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.
“Team lapangan Mapim perlu kerja ‘ekstra’ untuk kenal pasti mereka dengan pergi siasat dan tanya jiran sebelum terus serah bantuan yang dibawa bersama ketika buat tinjauan,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929