JAKARTA – Pasukan polis Ponorogo, Jawa Timur mempunyai kaedah tersendiri memastikan penduduk setempat mematuhi protokol kesihatan Covid-19 iaitu membawa kuntilanak melawat mereka, lapor Suara.com, semalam.
Lawatan istimewa itu dirakam baru-baru ini di sebuah kedai kopi yang menyaksikan pelanggan seperti enggan beredar biarpun sudah melepasi had masa ditetapkan.
Seorang individu berpakaian kain telekung putih dan berambut panjang berjalan menuju kumpulan pelanggan berkenaan dan menyuruh mereka pulang.
Ternyata kaedah itu menjadi kerana pelanggan yang terkejut segera beredar dalam keadaan terkejut dan terpinga-pinga.
“Kami sengaja memilih sosok yang menyeramkan untuk turun padang memantau pematuhan Perintah Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) darurat di Ponorogo.
“Saya fikir jika mereka tidak takut pada polis mungkin mereka takut kepada hantu dan kuntilanak,” kata Ketua Balai Polis Ponorogo, Inspektor Aris Wibawa.
Tambah Aris, pihaknya akan terus turun padang membawa penyampai maklumat istimewa itu sepanjang PPKM darurat dilaksanakan.
“Ini untuk kebaikan semua maka jika tidak mahu kuntilanak datang menegur, sila patuhi had masa darurat yang ditetapkan,” ujarnya. – Agensi