KALAU bukan disebabkan pandemik Covid-19 yang masih membingungkan ramai, khususnya penduduk Malaysia, peminat filem tanah air mungkin sudah berkesempatan menyaksikan filem yang ditunggu-tunggu ramai, A Quite Place Part II di kerusi pawagam.
Sayangnya, episod menyesakkan Covid-19 di Malaysia terlalu panjang. Kalau disamakan dengan sinetron Indonesia, barangkali ramai mengangguk, tanda setuju.
Namun, jika ada yang tidak mahu ketinggalan, tonton sahaja A Quite Place Part II menerusi aplikasi Paramount+ yang sungguh ‘menyesakkan’ poket harga langganannya.
Tinggalkan seketika igauan terhadap karya arahan John Krasinski tersebut, minggu ini penulis mahu bercerita tentang sebuah karya siri original yang mempunyai tema seakan sama iaitu pasca-apokaliptik berjudul Sweet Tooth.
Sweet Tooth arahan Jim Mickle dan beberapa sutradara lain boleh disimpulkan sebagai antara karya paling ‘dekat’ dengan jiwa penonton.
Kalau dunia realiti, kita semua sedang dibelenggu Covid-19, Sweet Tooth hadir dengan nilai tambah fantasi iaitu kemunculan makhluk hibrid, manusia-haiwan selepas dunia dilanda sejenis malapetaka atau ‘apocalypse’.
Siri berkenaan boleh diklasifikasikan antara siri terbaik yang diperkenalkan pada 2021.
Sweet Tooth memiliki apa yang dicari penonton dalam sebuah naskhah berkualiti baik dari segi pengarahan, sinematografi, efek bunyi, nilai komersial dan terjemahan watak pelakon yang terlibat.
Karakter, senimatografi
Selain perihal teknikal yang ‘top-notch’ atau cemerlang tersebut, pujian menggunung wajar diberikan kepada pelakon terlibat terutama watak utamanya, Christian Convery yang menjayakan watak Gus dan Nonso Anozie (Tommy Jepperd).
Bukan mudah untuk melakonkan watak kanak-kanak hibrid manusia-rusa yang barangkali perlu bermain dengan banyak kesan visual, namun Christian berjaya menterjemahkan karakternya dengan comel dan sungguh cemerlang.
Kualiti lakonan Nonso memang tidak boleh dipertikaikan. Pelakon berketurunan Nigeria yang sebelum ini popular menerusi watak Tank dalam RocknRolla berjaya menghidupkan karakter Tommy Jepperd yang memerlukan dirinya tidak sekadar menampilkan sisi ‘hati kering’ tetapi empati yang menjentik jiwa penonton, terutama selepas bertemu Gus.
Satu pertaruhan yang bijak memberi referensi perihal bobrok yang sedang berlaku dalam dunia fiksyen filem. Aspek itu antara boleh dijangka penonton dalam Sweet Tooth.
Seperkara lagi yang penulis sukar untuk ‘move on’ daripada naskhah ini adalah sinematografinya yang sangat mempesona. Memandangkan karya berkenaan menjalani penggambaran di New Zealand, penonton boleh berharap tanpa prejudis kualiti daripada aspek yang disebutkan.