fbpx

KKM tingkat kesiapsiagaan hospital, PKRC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Langkah segera termasuklah penambahan katil di ICU.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menilai semula strategi sedia ada serta mengenal pasti langkah responsif dan pantas bagi meningkatkan lagi kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 bagi menerima dan merawat pesakit Covid-19 khususnya kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, antara langkah segera termasuklah penambahan sebanyak 20 unit katil unit rawatan rapi (ICU) tambahan di Hospital Ampang serta lapan unit katil ICU dan 45 unit katil wad tambahan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia mulai semalam.

Menurutnya, langkah itu bagi membolehkan pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5 dipindahkan segera dari PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 ke hospital sebagai usaha untuk merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit.

Katanya lagi, penyediaan 60 katil dan peralatan tambahan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor yang dianggarkan berjumlah RM1.1 juta bagi meningkatkan lagi keupayaan hospital tersebut menerima pesakit khususnya pesakit Covid-19.

“Langkah seterusnya adalah menubuhkan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di HTAR Klang, Selangor.

“Begitu juga memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur juga menerima dan merawat pesakit Covid-19 bagi Kategori 3 dan Kategori 4,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Adham, KKM juga akan melaksanakan segera penugasan semula (mobilisasi sementara) lebih 110 orang petugas kesihatan yang terdiri daripada lebih 75 orang pegawai perubatan, anggota paramedik dan pemandu dari Negeri Kedah, Perak dan Terengganu.

Menurutnya, seramai 43 pegawai perubatan dari hospital di Lembah Klang ke PKRC MAEPS berkuat kuasa hari ini untuk tempoh antara satu hingga enam bulan bagi menyokong PRKC Bersepadu MAEPS 2.0. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI