fbpx

Kes positif dijangka turun dua minggu lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita melintas jalan yang lengang di Jalan Tun Tan Cheng Lock berikutan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.

PETALING JAYA – Angka positif Covid-19 di kawasan-kawasan panas sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dijangka mencatatkan penurunan dalam tempoh dua minggu lagi sekali gus dapat me­ngurangkan keresahan rakyat.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, sasaran itu berdasarkan ke­tegasan kerajaan terhadap sektor perkilangan khususnya ketika­ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.

“Jika kita lihat sepanjang tempoh lockdown, kerajaan begitu tegas melakukan pemeriksaan ke atas kilang bagi memastikan pemain industri bukan sektor pen­ting menutup operasi.

“Kalau kerajaan terus tegas dan memberi tekanan terhadap mereka, tidak mustahil kita dapat kurangkan kes dalam tempoh dua minggu,” katanya kepada ­Kosmo! di sini semalam.

Katanya, ketegasan itu disifatkan memberi harapan baharu kepada rakyat memandangkan banyak kes yang dilaporkan sebelum ini berpunca daripada sektor perkilangan.

“Sektor perkilangan dan pembinaan sebelum ini memang menjadi punca utama penularan kes dalam komuniti, namun stigma­ negatif itu dapat dihentikan jika kes dapat dikurangkan daripada sektor itu,” jelasnya.

Sementara itu, Hanafiah berkata, kaedah ‘mengurung’ rakyat adalah terbaik bagi mengekang penularan kes.

“Apabila diberi kelonggaran sama ada dari segi prosedur operasi standard (SOP), rakyat kita mudah lupa diri.

“Maksudnya, mereka merasakan Covid-19 sudah pulih selepas banyak SOP dilonggarkan dan mula mengabaikan langkah-­langkah pencegahan,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Nazarudin Safian berkata, kawalan kesihatan secara bersasar perlu dijalankan dalam mengurangkan angka jangkitan.

“Kita perlukan kawalan kesihatan bersasar terutamanya majoriti kes ketika ini merupakan jenis sporadik. Jika kes melibatkan kluster, ia lebih mudah dikawal berbanding sporadik.

“Penyiasatan lebih terperinci juga perlu dilakukan khususnya untuk kes jangkitan yang dilihat tidak mempunyai kaitan tetapi sebenarnya mungkin menjadi punca penyebaran Covid-19,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI