BENTONG – Operasi memusnahkan pokok durian Musang King di kawasan Hutan Simpan Batu Talam di Raub berjalan lancar dan terkawal tanpa ada provokasi daripada mana-mana pihak.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, keadaan di Raub tenteram dan keselamatan pasukan penguatkuasa Jabatan Perhutanan yang menjalankan tugas adalah terjamin.
“Saya sendiri telah turun ke Raub untuk melihat keadaan sekitar bandar, kawasan mahkamah dan kawasan operasi yang berada dalam keadaan baik dan tenteram serta penduduk menjalani kehidupan seperti biasa.
“Dengan kawalan daripada pihak polis di seluruh kawasan berkenaan, keselamatan petugas terjamin dan keadaan adalah tenang dan tenteram,” katanya pada Program Ops Bantu di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar.
Operasi memusnahkan pokok durian Musang King di kawasan Hutan Simpan Batu Talam seluas 101 hektar dimulakan pada 3 Julai sehingga 2 Ogos depan.
Bagaimanapun operasi pada hari kedua dan ketiga terganggu selepas provokasi oleh sekumpulan individu dipercayai pekebun durian sebelum Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan bagi mengawal operasi tersebut.
Menurut beliau, pihak polis dan PGA melakukan kawalan di seluruh kawasan operasi berkenaan bagi memastikan keselamatan petugas Jabatan Perhutanan.
Katanya, kira-kira 60 anggota PGA melakukan pemantauan bersama polis termasuklah di dua sekatan jalan raya (SJR) 24 jam di kawasan jalan masuk ke kawasan operasi. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929