DUBAI – Sebuah kapal kontena di Dubai dilaporkan meletup dan mencetuskan gegaran yang dapat dirasai sejauh 24 kilometer melintasi kota raya tersebut di Emiriyah Arab Bersatu(UAE), lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Api yang marak menjulang dari kapal kargo tersebut di Pelabuhan Jebel Ali iaitu lokasi paling sibuk di rantau Asia Barat yang terletak di sebelah timur Semenanjung Arab.
Letupan yang berlaku mencetuskan gelombang gegaran sejauh 24 kilometer di Dubai dengan sejumlah bangunan dan tingkap bergegar termasuk di kejiranan ekspatriat Britain.
Belum ada laporan mengenai mangsa yang cedera atau terkorban akibat letupan tersebut.
Pemerintah Dubai mengeluarkan kenyataan rasmi semalam menyatakan bahawa pihak berkuasa berjaya mengawal kebakaran itu.
Pihak berkuasa turut menyiarkan rakaman di media sosial menunjukkan anggota bomba berusaha memadamkan api yang marak di atas sebuah kapal kontena gergasi.
Setakat ini, belum ada laporan rasmi menyatakan tentang jumlah kerosakan dan kerugian yang ditanggung akibat nahas itu.
Selain itu, punca kebakaran juga belum didedahkan dengan pegawai pelabuhan mengatakan, semua langkah sudah diambil bagi memastikan pergerakan kapal lain tidak terjejas.
Ketua Pengarah Pejabat Media Dubai, Mona al-Marri memberitahu stesen televisyen Al-Arabiya bahawa nahas seperti itu boleh berlaku di mana-mana lokasi pelabuhan di dunia.
“Pemerintah sedang berusaha mengeluarkan kenyataan rasmi dengan segera bagi mengelak khabar angin tentang punca kebakaran yang berlaku,” ujarnya. – Agensi