SUNGAI PETANI – Dua lelaki yang berdegil untuk keluar dan masuk sesuka hati ke kawasan
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lalang dan Bakar Arang dekat sini pada semalam direman tiga hari, bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kedua-dua suspek berusia 47 dan 44 tahun itu direman hingga Sabtu ini.
Katanya, perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Dalilah Ismail secara dalam talian pada pagi ini kerana kedua-dua suspek merupakan penduduk terlibat PKPD.
“Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Peraturan 16(1) Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) Pelan Pemulihan Negara 2021,” katanya di sini hari ini.
Kedua-dua suspek ditahan pada semalam kerana didapati menghalang tugas penjawat awam, melakukan ugutan jenayah dan ingkar arahan PKPD. – K! ONLINE