LUMUT – Malang menimpa seekor kucing berusia dua tahun apabila cuping telinga kanannya tertusuk mata kail ketika berada di rumah pemiliknya di Kampung Permatang dekat sini, pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9 pagi apabila si bulus bernama Ben itu dikatakan melompat masuk melalui tingkap ke stor rumah tersebut sebelum mata kail yang terdapat dalam bilik itu tertusuk pada telinga haiwan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, Shuib Idris berkata, kucing itu dibawa ke balai tersebut oleh seorang lelaki (pemilik) pada pukul 9.42 pagi.
“Sebaik tiba, anggota kami mengeluarkan mata kail itu bermula pukul 9.44 pagi dan berjaya lapan minit kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, anggotanya kemudian menyapu ubat berupa cecair kuning pada tempat tusukan mata kail itu sebagai bantuan perubatan terhadap haiwan tersebut.
Jelasnya, Ben langsung tidak mengiau atau meronta-ronta ketika anggotanya mengeluarkan mata kail itu seolah-olah tahu yang mereka sedang menyelamatkannya.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.58 pagi dan Ben dibawa pulang oleh pemiliknya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929