LONDON – Arsenal kembali memberi fokus untuk mendapatkan pemain idaman mereka sejak musim panas tahun lalu, Houssem Aouar dari Olympique Lyon.
Difahamkan, The Gunners sudah pun melancarkan bidaan rasmi untuk membawa pemain itu ke Emirates pada jendela perpindahan kali ini.
Proses rundingan berkenaan dilaporkan berjalan dengan lancar dan Mikel Arteta bakal mendapat pemain yang sudah lama beliau impikan sebelum ini.
Arsenal dikatakan mahu perpindahan Aouar ke London benar-benar menjadi kenyataan kali ini dan sanggup memberi tawaran wang tunai dan seorang pemain mereka untuk memujuk Lyon.
Dilaporkan empat pemain yang berada dalam ‘katalog’ Arsenal untuk dipilih oleh Lyon adalah Reiss Nelson, Willian, Joe Willock dan Granit Xhaka.
Nelson hampir pasti enggan kembali ke Emirates selepas menolak kontrak baharu yang ditawarkan kerana mahu mencari pasukan yang mampu memberikannya lebih minit permainan.
Willian pula hanya mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama Arsenal selain gagal memberikan impak untuk pasukan itu selepas berhijrah dari Chelsea.
Selain itu, Willock dijadikan umpan oleh Arsenal selepas dia berjaya mempamerkan aksi cemerlang bersama Newcastle musim lalu apabila meledak lapan gol dalam 14 penampilan selain usianya yang masih muda.
Xhaka pula menjadi buruan Juventus dan AS Roma tetapi kedua-dua pasukan itu liat untuk memenuhi tuntutan harga yang diminta Arsenal menyebabkan The Gunners mungkin akan menawarkannya kepada Lyon sebagai salah satu terma untuk penjualan Aouar. – AGENSI