PETALING JAYA – Hampir satu keluarga pelakon Datin Rebecca Nur Al-Islam, termasuk suami, anak-anak dan pembantu rumahnya disahkan positif Covid-19, hari ini.
Perkara tersebut dikongsikan Rebecca menerusi satu hantaran status dalam Instagramnya.
“Dukacita dimaklumkan, hari ini (Khamis), saya mewakili suami serta seluruh keluarga ingin memberitahu keluarga kami diserang penyakit Covid-19,” kata pemilik nama lengkap Rebecca Nur Al-Islam Ahmad itu.
Rebecca, 35, memberitahu, suaminya, Datuk Norazam Sulaiman dan enam anak mereka turut dijangkiti wabak maut tersebut.
Anak-anak yang positif termasuklah, Nor Khayrin, Nor Adam Daniel, Nor Anggun Raverra, Nor Aliff Al Raffael, Nor Ahmet Al Reaggan dan Nor Aurora Riana.
Selain itu, tiga daripada enam orang pembantunya turut dijangkiti wabak tersebut.
Hasil ujian calitan yang dilakukan Rabecca bagaimanapun menunjukkan dirinya dan dua orang lagi anaknya menunjukkan keputusan negatif Covid-19.
“Saya tersangatlah sedih sekarang ini dan terlalu berdukacita. Tapi, apapun, saya bersyukur diri saya negatif termasuk dua orang anaknya yang lain.
“Apa yang boleh saya katakan buat masa sekarang ini, tolong doakan untuk kami sekeluarga lebih-lebih lagi suami saya yang keadaannya sedikit teruk daripada yang lain. Saya tahu suami saya kuat,” tulisnya.
Pelakon berusia 35 tahun berasal dari Johor Bharu itu juga turut meminta maaf dan menyarankan kepada mana-mana pihak yang ada kontak rapat dengan mereka dalam tenpoh tujuh hari sebelum ini agar segera menjalani ujian calitan untuk tujuan keselamatan bersama.
“Kalau anda kontak rapat dalam tempoh tujuh hari ke kebelakangan ini, tolong buat ujian calitan,” katanya. – K! ONLINE