LONDON – Bekas juara Terbuka Perancis, Iga Swiatek gagal meneruskan perjuangan dalam Kejuaraan Wimbledon apabila tersingkir di pusingan keempat ketika berdepan pemain Turki, Ons Jabeur kelmarin.
Pada saingan tersebut, Swiatek memulakan perlawanan dengan aksi positif apabila meraih kemenangan pada set pertama, namun pemain berusia 20 tahun itu gagal mengekang kebangkitan Jabeur sebelum tewas dengan keputusan 7-5, 1-6, 1-6.
Swiatek mengakui kekalahannya itu berpunca daripada pukulan servis yang tidak berapa baik hingga menjejaskan keyakinannya dan menyebabkan Jabeur bangkit meraih kemenangan dua set seterusnya.
“Saya kehilangan keyakinan diri pada set kedua, malah pukulan servis pada set kedua juga tidak membantu saya untuk bangkit mengatasi Jabeur.
“Saya akui kecewa dengan kekalahan ini kerana tidak menggunakan peluang dan kelebihan tersebut untuk menamatkan perlawanan lebih awal.
“Saya akui Jabeur seorang pemain yang sangat baik pada perlawanan ini. Dia menukar rentak perlawanan pada set kedua dengan agresif dan cukup sukar untuk saya mencari mata kemenangan.
“Saya mempunyai minggu yang hebat minggu lalu. Sekarang agak sukar untuk menerimanya kerana saya baru kalah. Tetapi anda perlu tahu ini akan selalu berlaku dalam sukan tenis.
Apa pun saya ambil kekalahan ini sebagai satu langkah positif untuk bangkit. Saya harap mampu menggunakan pengalaman beraksi di sini untuk perlawanan akan datang,” kata Swiatek. – AGENSI