fbpx

Polis gagalkan cubaan seludup air ketum di PKRC Maeps 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis merampas 10 kotak rokok dan satu bungkusan plastik air dipercayai air ketum di PKRC Maeps pada 4 Julai lalu.

SEPANG – Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup air ketum kepada pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Hall A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia  (Maeps), Serdang tidak berjaya apabila ditahan pihak berkuasa dalam kejadian yang berlaku pada 4 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek berusia 33 tahun yang juga bekas pesakit Covid-19 di PKRC Maeps itu mulanya bertindak melontar barang kepada seseorang di lokasi berhampiran lori Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertujuan melepasi kawat duri di Hall A tetapi cubaan tersebut gagal.

Menurutnya, tindakan suspek disedari anggota yang sedang bertugas sebelum dia bertanyakan perkara itu kepada suspek yang menafikan ada berbuat demikian.

“Namun seorang kakitangan TNB menjelaskan kepada polis bahawa suspek cuba memberikan buah epal yang dibungkus di dalam plastik hitam kepada pesakit.

“Daripada maklumat tersebut, polis kemudiannya melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan lori TNB dan menjumpai sejumlah kotak rokok di atas rumput belakang lori terbabit sebelum menemui satu bungkusan air dipercayai air ketum,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, sehubungan dengan itu, polis merampas 10 kotak rokok jenis Luffman dan plastik air ketum dengan isipadu 500 mililiter.

Menurutnya, polis percaya suspek berkenaan cuba untuk membawa masuk bungkusan air ketum itu juga.

“Suspek telahpun ditahan reman selama tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 untuk proses pendakwaan,” katanya. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI