KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta kerajaan negeri menyegerakan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri Pahang bagi melindungi kelestarian alam sekitar di negeri ini.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman berkata, baginda bertitah inisiatif itu merangkumi kawasan sempadan negeri Pahang sepanjang 1,087 kilometer yang merangkumi keluasan 54,350 hektar.
“Baginda bertitah sebahagian besar dari kawasan ini perlu diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal, manakala kawasan yang terlibat dengan tanah milik dibangunkan secara lestari selaras konsep Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus (ESG).
“Baginda bertitah kawasan tersebut perlu menjadi kawasan perlindungan bagi hidupan liar, flora dan fauna sepenuhnya dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) perlu menjalankan penguatkuasaan lebih tegas bagi terus melindungi hidupan liar di negeri Pahang,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Menurutnya, Tengku Hassanal turut bertitah kawasan-kawasan strategik bagi hidupan liar, flora dan fauna seperti Taman Negara, Taman Negeri Endau-Rompin, hutan lipur, Tasik Chini dan Tasik Bera, serta kawasan penempatan Orang Asli di seluruh Pahang terus kekal dipelihara.
Katanya, baginda juga bertitah supaya kerajaan negeri menggiatkan usaha mengenal pasti sumber (pendapatan) alternatif dan tidak hanya bergantung kepada aktiviti pembalakan dan perlombongan.
Justeru katanya, baginda mengalu-alukan semua pihak yang berminat untuk melabur di negeri Pahang membawa idea-idea baharu yang selari dengan konsep ESG.
“Berhubung dengan langkah pemuliharaan Kawasan Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Tasik Chini, baginda telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri serta Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Baginda bertitah agar usaha pemulihan kawasan tersebut dengan penanaman pokok yang bersesuaian perlu disegerakan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929