PETALING JAYA – Perkongsian klip video hebahan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Ayu, Hulu Langat dalam Bahasa Indonesia dan Myanmar menarik perhatian pengguna media sosial.
Jabatan Penerangan melalui hantaran di laman Facebook rasminya berkata, penggunaan kedua-dua bahasa tersebut dibuat berdasarkan kepada populasi yang tinggi penghuni yang berasal dari Indonesia dan Myanmar.
“Saksikan Info on Wheels (IOW) oleh petugas Pusat Maklumat Rakyat Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat di kawasan PKPD Sri Ayu, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi, Daerah Hulu Langat.
“Hebahan umum SOP dihebahkan dalam bahasa yang mudah difahami iaitu bahasa Indonesia dan Myanmar berdasarkan populasi penduduk yang berasal dari negara tersebut,” katanya dalam kapsyen video berkenaan.
Video berdurasi 2 minit dan 29 saat itu mendapat pujian pengguna media sosial yang menyifatkan keprihatinan petugas dalam menyampaikan maklumat kepada penduduk terlibat dan dikongsi lebih 100 kali.
Menurut pengguna Facebook bernama Azizah: “Sampai begitu sekali prihatinnya. tetapi majikan kilang semuanya pentingkan diri.”
PKPD di Pangsapuri Sri Ayu berkuat kuasa 30 Jun lalu hingga 13 Julai ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929