PETALING JAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melihat kempen boikot Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang dijadualkan pada Oktober depan hanya digerakkan sekelompok kecil, bukan mewakili suara seluruh penggiat industri kreatif tanah air.
Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, pihak yang mempertikaikan penganjuran acara pengiktirafan tersebut sebenarnya tidak memahami tanggungjawab hakiki perbadanan yang bermatlamat membangunkan industri perfileman negara.
“Finas cukup memahami situasi sekarang malah sentiasa ambil peduli dengan nasib pekerja industri kreatif yang terjejas apabila banyak sektor ekonomi terpaksa dihentikan seketika bagi mengekang penularan Covid-19 termasuk kerja penggambaran.
“Selama ini pihak kami juga memandang serius terhadap isu dalam kalangan pekerja seni terutama nasib kru belakang tabir, namun mereka perlu faham, Finas memegang amanah mengembangkan industri perfileman tanah air, bukan memegang portfolio kebajikan.
“Kami pilih Oktober kerana pada masa itu dijangka lebih 80 peratus warga Malaysia sudah divaksin, sekali gus membolehkan sektor lain dibuka seperti kerja penggambaran yang mungkin dapat digerakkan semula menjelang Ogos nanti.
“Finas tidak melihat FFM31 sebagai pesta, sebaliknya suntikan semangat buat warga seni yang bersusah payah memartabatkan filem biarpun berdepan cabaran sepanjang pendemik ini, tambahan pula sudah dua tahun acara tersebut ditunda,” katanya kepada Kosmo! Online.
Terdahulu, satu gerakan dalam Twitter dan Instagram menggunakan tanda pagar #kempenboikotFFM31, dilihat menunjukkan bantahan terhadap penganjuran majlis tahunan berkenaan yang didakwa tidak patut dilaksanakan ketika ramai pihak terjejas teruk.
Pihak berkenaan berpendapat dana untuk acara yang dijadualkan diadakan secara virtual pada Oktober ini sepatutnya disalurkan kepada penggiat seni yang hidup susah berikutan impak tekanan dan kehilangan pendapatan.
Rata-rata berpendapat penganjuran FFM31 sebagai tindakan tidak sensitif perbadanan berkenaan pada saat negara sedang berjuang melawan Covid-19, sekali gus menyarankan dana majlis itu disalurkan kepada warga seni yang memerlukan.
“Mungkin ramai terlupa, Finas sentiasa ambil peduli permasalahan penggiat industri kreatif terutama kru belakang tabir yang paling terkesan dalam situasi sekarang dengan mengadakan pelbagai program sejak tahun lalu.
“Antaranya adalah pengagihan dana kepada penerbit supaya dapat menghasilkan produk, sekali gus membuka peluang pekerjaan tetapi di luar bidang kuasa kami apabila kerja penggambaran pula ditangguhkan sementara.
“Tetapi sambil menunggu semua sektor pulih semula, sejak minggu lalu Finas keluarkan dulu Sijil Perakuan Penggambaran agar tugasan pra produksi boleh dijalankan, supaya sebaik pengumuman operasi penggambaran sudah boleh dibenarkan, karyawan dapat terus masuk ke set.
“Finas turut memohon agar dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) untuk golongan penggiat seni bagi mempercepat matlamat kerajaan mencapai imuniti kelompok yang dijangka memberi manfaat kepada 10,000 pekerja industri jika direalasasikan bulan ini,” katanya.
Akui Zakaria, dari segi penyerahan bantuan barangan keperluan kepada pekerja seni yang terjejas, perkara berkenaan sememangnya sudah digerakkan hingga sekarang secara berterusan bagi meringankan beban kelompok sasaran.
Sementara itu, bulan lalu Finas mengumumkan FFM31 bakal mempertandingan 22 kategori utama yang dibuka kepada filem yang diterbitkan antara tahun 2018 hingga 2020.
Lebih menarik, hadiah istimewa berupa dana untuk menghasilkan filem yang menggabungkan barisan pemenang edisi kali ini turut ditawarkan kepada penerima anugerah Filem Terbaik. – K! ONLINE