fbpx

Tolonglah, jangan dihina orang susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

MENJADI lumrah manusia, ada yang berjaya dan ada juga yang kurang berjaya. Yang berjaya biasanya akan hidup senang, meninggalkan kelompok insan kurang bernasib baik bagi mengisi status sebagai rakyat susah.

Sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih setahun lalu, kelompok rakyat susah semakin bertambah. Dari yang tinggal di ceruk kampung dan pinggir bandar, sehinggalah kepada mereka yang menghuni flat-flat usang di tengah ibu kota.

Tidak ketinggalan golongan pertengahan yang selama ini bergaji ribuan ringgit, tetapi saban hari semakin terjerumus untuk menyertai kelompok rakyat susah.

Salahkah mereka menjadi orang susah atau miskin? Jawapannya tidak. Yang salah apabila ada pihak lain yang menghina dan memperlekehkan orang-orang seperti ini.

Baru-baru ini, tular kisah seorang ‘ustaz’ di sebuah kawasan pedalaman di Sabah yang giat menghulurkan bantuan kepada golongan orang susah.

Seperti kebanyakan pemberi sumbangan, si polan ini turut tidak ketinggalan untuk merakam setiap inci perbuatannya ketika turun padang. Tidak cukup dengan itu, barang sumbangan diperincikan dari segi harga, menunjukkan betapa bersungguhnya si polan ini untuk memberi bantuan.

Benar, pujian harus diberikan kepadanya atas usaha murni itu. Namun, di sebalik kesungguhan itu, banyak perkara negatif telah terdedah.

Ceramah berbentuk penghinaan, memperlekeh sesama Islam, mempertikai peribadi seseorang dan paling keji, si polan turut mengungkit setiap amalan yang telah dilakukannya.

Kasihan dan sangat kasihan. Tujuan dakwah yang diniatkan itu sebenarnya telah memperlihatkan sisi negatif si polan. Maka, bertalu-talu kejian yang diterimanya. Kritikan bukan hanya datang daripada warga netizen, tetapi khalayak ilmuan dan agamawan turut memberi reaksi terkejut.

Ramai sebenarnya yang terasa hati dengan cara si polan itu. Seolah-olah kelompok orang susah tidak mempunyai maruah, mudah diherdik dan dihina.

Hal sama turut berlaku baru-baru ini apabila isu bendera putih tular di media sosial. Perjuangan bendera putih mendapat sokongan ramai, yang mana tujuannya adalah sebagai isyarat untuk membantu mereka yang susah.

Maka, berlaku gerakan turun padang oleh pelbagai individu dan komuniti setempat untuk mengesan kumpulan manusia yang tersepit. Tabik buat mereka yang prihatin.

Namun, seperti kisah si polan yang suka menghina, hal sama turut berlaku kepada sesetengah ahli politik kayangan. Tanpa mahu memberi sokongan, mereka sebaliknya memberi ‘dalil’ tertentu untuk menafikan usaha itu.

Bahkan, perbuatan mengibar bendera putih turut mereka kaitkan sebagai satu bentuk kekalahan, putus asa dan tidak layak untuk diiktiraf.

Sedih dan sangat menyedihkan. Hakikatnya, mereka mungkin lupa atau buat-buat lupa, bahawa suatu hari nanti, giliran mereka pula akan mengibarkan ‘bendera politik’ semata-mata untuk menagih undi rakyat. Kita tunggu sahaja saat itu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI