fbpx

Sindiket PATI tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ejen, transporter dan PATI yang ditangkap Batalion 6 PGA semalam.

KUALA LANGAT – Rangkaian satu sindiket penyeludupan migran di sekitar daerah ini tumpas dengan penahanan seorang ejen warga Indonesia di tepi jalan Kundang 2, Taman Seri Kundang di sini semalam.

Penangkapan suspek dilakukan pukul 11 malam oleh Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA). Turut ditahan enam individu termasuk seorang lelaki tempatan bertindak sebagai transporter dengan kesemuanya berusia 23 hingga 52 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintendan Rozasin Ramlan berkata, pihaknya terlebih dahulu mengesan sebuah kenderaan dinaiki lima warga Indonesia yang dibawa lelaki tempatan kira-kira pukul 8.20 malam hari sama.

Katanya, ketika pemeriksaan di tepi jalan besar Jalan Kundang, Tanjung Sepat didapati kesemua warga Indonesia itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kelima-lima warga Indonesia itu didapati cuba menyusup keluar dari negara ini secara haram menerusi jalan laut yang tidak diwartakan.

“Siasatan terhadap lelaki tempatan itu pula mendapati  dia menyediakan khidmat pengangkutan darat kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi keluar dan masuk negara ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan terhadap transporter itu kemudiannya membawa kepada penahanan ejen tersebut yang telah bergiat aktif sejak Januari lalu dengan mengenakan caj di antara RM1,500 hingga RM2,000 bagi seorang PATI.

“Turut dirampas sepanjang serbuan itu adalah masing-masing sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan motosikal, tiga buah telefon bimbit dan wang tunai RM3,800 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM51,800.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Rozasin menegaskan, kes disiasat mengikut 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI