ROM, Itali – Dua wanita menemui ajal di puncak Gunung Vincent Pyramid, Itali akibat kesejukan melampau selepas memakai pakaian tidak bersesuaian dengan suhu di bawah paras beku, lapor akhbar The Sun, kelmarin.
Martina Sviluppo, 29, dan Paola Viscardi, 28, meninggal dunia hujung minggu lalu semasa mendaki Gunung Vincent Pyramid di timur Pergunungan Alps.
Menurut laporan, kedua-dua mangsa bersama seorang rakan lelaki, Valerio Zolla, 29, berjaya sampai di puncak gunung itu dengan selamat, namun tersesat ketika perjalanan turun dan sukar mencari jalan pulang.
Lokasi mereka yang berkabus pada di altitud tinggi dan awan rendah menyebabkan jarak penglihatan sangat terhad.
Keadaan menjadi lebih parah apabila ribut dan angin kencang melanda ketika mereka bertiga masih berusaha mencari jalan turun.
Sviluppo dan Visacradi sempat membuat panggilan kecemasan ke pusat bantuan di Aosta sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) tetapi tidak dapat mengesahkan kedudukan mereka dengan tepat.
Helikopter penyelamat telah dihantar dalam usaha mencari dan menyelamat tetapi tidak dapat mendarat lebih awal kerana cuaca buruk.
Salah seorang mangsa dilaporkan meninggal dunia sejurus selepas bantuan tiba, manakala seorang lagi dibawa turun ke pusat bantuan tetapi doktor-doktor tidak berjaya menyelamatkan mangsa, demikian menurut laporan akhbar Itali, La Repubblica.
Seorang lagi pendaki, Zolla terselamat dalam kejadian itu, namun mengalami hipotermia yang serius dan dibawa ke hospital Switzerland untuk rawatan lanjut.
Menurut pasukan penyelamat, kumpulan itu dikatakan mempunyai kelengkapan mendaki gunung yang baik jika mendaki dalam keadaan cuaca biasa.
Namun begitu, pakaian mereka tidak direka untuk berada di puncak gunung dalam tempoh lama pada waktu malam.
Ahli meteorologi, Valentina Acordon mengatakan bahawa suhu di puncak gunung sekitar -4 darjah Celsius akan terasa seperti -15 darjah celcius disebabkan tiupan kencang. – Agensi