PETALING JAYA – Orang ramai mulai resah apabila jumlah kes harian jangkitan Covid-19 masih tinggi walaupun telah lebih sebulan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dilaksanakan.
Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan jumlah kes baharu Covid-19 adalah sebanyak 7,654 kes meningkat 1,267 kes berbanding 6,387 kes semalam.
Jumlah 7,654 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini malah lebih tinggi berbanding 7,105 kes pada hari pertama pelaksanaan PKP 3.0 pada 1 Jun lalu.
Seorang pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dengan perkembangan tersebut berkata, rakyat patuh arahan duduk rumah dan prosedur operasi standard (SOP) namun kes semakin bertambah.
“Buka mata besar-besar. Kes banyak datang dari sektor mana?,” kata pemilik akaun Facebook Mohd. Fauzee.
Hari ini Selangor dilaporkan mencatatkan jumlah tertinggi kes baharu Covid-19 sebanyak 3,260 kes diikuti Kuala Lumpur (1,550) dan Negeri Sembilan (698).
Nor Hayatie pula mengeluh kes harian jangkitan Covid-19 yang tinggi seolah-olah tidak berkesudahan sedangkan rakyat telah berkurung di rumah.
Menurut Zulkefley Putra, dia semakin letih berkurung dan tidak tahu untuk tempoh berapa lama lagi kerana sektor perkilangan masih beroperasi.
Maimunah Dahalan pula berkata, rakyat sudah bosan tidak dapat bekerja dan hilang punca pendapatan sedangkan kes jangkitan Covid-19 masih tinggi.
“Sampai bila hendak mengharapkan bantuan masyarakat. Setakat makan bolehlah. Penghuni rumah yang ramai bagaimana. Bil utiliti, (bayaran) rumah dan kereta,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929