TIGNES, Perancis – Pelumba UAE Emirates, Tadej Pogacar bengang dengan dakwaan sesetengah pihak mengatakan pasukan yang diwakilinya ketika ini menjadi kelemahan utama buat dirinya.
Disebabkan itu, Pogacar, 22, tampil mempertahankan rakan sepasukannya sejurus mengekalkan jersi kuning selepas mengharungi sembilan peringkat perlumbaan Tour de France (TdF) awal pagi semalam.
“Saya tidak faham kenapa semua orang selalu mengatakan pasukan UAE (Emirates) sangat teruk dan tidak boleh dikawal. Sekarang beritahu saya apakah ada pasukan yang lebih hebat daripada kami?
“Kami adalah salah satu pasukan terhebat di sini ketika ini. Semua pelumba dapat memainkan peranan masing-masing dan saya pula masih pendahulu keseluruhan perlumbaan,” katanya.
Untuk rekod, pelumba dari Slovenia itu memiliki kelebihan dua minit satu saat sebagai pendahulu ke atas juara peringkat kesembilan daripada pasukan AG2R Citroen, Ben O’Connor di tempat kedua keseluruhan.
Terdahulu, bekas juara Olimpik, Bradley Wiggins dari Great Britain mengkritik prestasi pasukan UAE Emirates yang melakukan kesilapan besar sewaktu peringkat ketujuh (TdF) pada 2 Julai lalu.
UAE Emirates dianggap melakukan kesilapan strategi dengan membenarkan 29 pelumba memintas mereka selepas mendahului hampir 249 kilometer (km) perlumbaan dengan menyaksikan Matej Mohoric dari pasukan Bahrain Victorious muncul juara ketika itu. – AGENSI