fbpx

Pelajar rugi RM2,000 ditipu ‘John Hamid’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PORT DICKSON – Seorang pelajar sekolah kerugian RM2,000 selepas berkenalan dengan seorang lelaki dari Amerika Syarikat yang memperkenalkan diri sebagai John Hamid melalui aplikasi Facebook.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pelajar perempuan berusia 16 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung penipuan sindiket Parcel Scam, pada Sabtu lalu.

“Selepas dua minggu berkenalan, John Hamid menawarkan untuk memberi hadiah berupa barang kemas, beg tangan dan kasut.

“John Hamid turut memberikan wang tunai untuk tujuan mangsa mencari rumah di Malaysia kerana suspek dikatakan mahu menetap di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Aidi Sham, mangsa kemudiannya telah menerima panggilan daripada ejen kurier di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) meminta mangsa memasukkan wang untuk urusan parcel tersebut ke alamat mangsa.

“Pembayaran RM2,000 telah dimasukkan ke dalam sebuah akaun tempatan namun mangsa diminta untuk masukkan wang lagi kerana terdapat wang tunai di dalam parcel, bagaimanapun mangsa tidak membuat kemasukkan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, difahamkan mangsa meminta wang berjumlah RM2,000 itu daripada ibunya atas alasan untuk menguruskan parcel tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum (10) tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Aidi Sham memberitahu, untuk rekod bagi tahun ini sahaja, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah menerima empat laporan polis dengan jumlah kerugian RM28,100 melibatkan modus operandi yang sama.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI