SEPANG – Rata-rata pekerja sektor pengangkutan udara menarik nafas lega kerana berpeluang mendapatkan janji temu menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) selepas dibuka kepada sektor berkenaan, mulai semalam.
Seorang penerima vaksin, Farah Sabrina Raymond Rafique, 29, berkata, peluang yang diberikan itu dapat memberi keyakinan untuk kembali bekerja selepas ini memandangkan tugasnya memerlukan dia berhadapan dengan orang ramai termasuk pesakit Covid-19.
Farah Sabrina yang bekerja di kaunter syarikat penerbangan Qatar Airways berkata, pemberian vaksin awal kepada petugas sektor pengangkutan udara disifatkan wajar kerana mereka juga dianggap sebagai ‘frontliners’ di pintu masuk utama negara.
“Sebelum ini saya pernah berurusan dengan pesakit Covid-19, dan waktu itu memang rasa bimbang. Tapi apabila sudah dapat janji temu hari ini, rasa lega,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Terminal Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turun padang menyaksikan sendiri proses pemberian vaksin di KLIA yang juga dikategorikan pusat pemberian vaksin industri (PPVIN).
Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Ahmad Syukri Salim, 27 dan Norliyanti Mhd. Noor, 29, yang bekerja sebagai polis bantuan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang, mereka berasa bertuah dan bersyukur kerana dapat divaksin bersama.
“Kami sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera sejak ia dibuka pada tahun lepas, namun masih tidak berpeluang untuk mendapatkan tarikh janji temu.
“Bagaimanapun, apabila dibuka kepada sektor ini, kami terus memaklumkan kepada pihak atasan dan bernasib baik kerana mendapat janji temu vaksinasi bersama,” katanya.
Pendapat sama turut dikongsikan penyelia dalaman kabin Malaysia Airlines, Mas Ayu Kamas Masud 57, yang turut menganggap program itu memberi kebaikan kepada masyarakat awam.
“Menerusi PICK dan pembukaan PPVIN KLIA ini, ia dapat memudahkan pekerja-pekerja di sektor ini dalam mendapatkan vaksin sekali gus membantu mencapai imuniti kelompok lebih cepat,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929