REYKJAVIK, Iceland – Sekumpulan penyelidik menyifatkan percubaan empat hari bekerja dalam seminggu di Iceland sebagai ‘kejayaan besar’ dan mendorong kepada tempoh masa bekerja lebih pendek di negara berkenaan, demikian menurut laporan Perbadanan Penyiaran Britain.
Percubaan di Iceland itu yang dilaksanakan antara tahun 2015 hingga 2019 dan disusuli ujikaji serupa oleh Microsoft di Jepun pada 2019, menyaksikan produktiviti pekerja meningkat hampir 40 peratus.
Di Iceland, pekerja-pekerja terbabit dibayar gaji sama untuk waktu bekerja lebih pendek dari 40 jam seminggu kepada 35 atau 36 jam dalam seminggu.
Susulan percubaan tersebut, penyelidik-penyelidik mendapati produktiviti di kebanyakan tempat kerja meningkat walaupun ada juga yang tidak berubah.
Percubaan empat hari bekerja itu dilakukan oleh Majlis Bandar Raya Reykjavik dengan kerjasama kerajaan Iceland melibatkan lebih 2,500 pekerja atau 1 peratus tenaga kerja negara itu.
Ia merupakan ujikaji terbesar di dunia berhubung waktu bekerja empat hari seminggu.
Dalam satu kenyataan akhbar, Persatuan Kelestarian Demokrasi (Alda) di Iceland menyatakan bahawa 86 peratus tenaga kerja negara itu telah mengorak langkah untuk melaksanakan waktu bekerja lebih pendek tanpa mengurangkan gaji susulan kejayaan percubaan tersebut.
“Kesejahteraan pekerja meningkat secara dramatik melibatkan pelbagai penanda aras termasuk kelesuan, kesihatan dan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan,” kata Alda. – Agensi